KISAH
NABI ISMAIL A.S.
Nabi
Ibrahim yang berhijrah meninggalkan Mesir bersama Sarah, isterinya dan Hajar, dayangnya
di tempat tujuannya di Palestin. Ia telah membawa pindah juga semua binatang ternakannya
dan harta miliknya yang telah diperolehinya sebagai hasil usaha niaganya di Mesir.
Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. berkata: "Pertama-tama
yang menggunakan setagi {setagen} ialah Hajar ibu Nabi Ismail tujuan untuk
menyembunyikan kandungannya dari Siti Sarah yang telah lama berkumpul dengan Nabi
Ibrahim a.s. tetapi belum juga hamil. Tetapi walaubagaimana pun juga akhirnya terbukalah
rahsia yang disembunyikan itu dengan lahirnya Nabi Ismail a.s. Dan sebagai lazimnya
seorang isteri sebagai Siti Sarah merasa telah dikalahkan oleh Siti Hajar
sebagai seorang dayangnya yang diberikan kepada Nabi Ibrahim a.s. Dan sejak
itulah Siti Sarah merasakan bahawa Nabi Ibrahim a.s. lebih banyak mendekati
Hajar kerana merasa sangat gembira dengan puteranya yang tunggal dan pertama itu,
hal ini yang menyebabkan permulaan ada keratakan dalam rumahtangga Nabi Ibrahim
a.s. sehingga Siti Sarah merasa tidak tahan hati jika melihat Siti Hajar dan
minta pada Nabi Ibrahim a.s. supaya menjauhkannya dari matanya dan
menempatkannya di lain tempat." Untuk sesuatu hikmah yang belum diketahui
dan disadari oleh Nabi Ibrahim Allah s.w.t. mewahyukan kepadanya agar keinginan
dan permintaan Sarah isterinya dipenuhi dan dijauhkanlah Ismail bersama Hajar
ibunya dan Sarah ke suatu tempat di mana yang ia akan tuju dan di mana Ismail
puteranya bersama ibunya akan ditempatkan dan kepada siapa akan ditinggalkan. Maka
dengan tawakkal kepada Allah berangkatlah Nabi Ibrahim meninggalkan rumah membawa
Hajar dan Ismail yang diboncengkan di atas untanya tanpa tempat tujuan yang tertentu.
Ia hanya berserah diri kepada Allah yang akan memberi arah kepada binatang tunggangannya.
Dan berjalanlah unta Nabi Ibrahim dengan tiga hamba Allah yang berada di atas
punggungnya keluar kota masuk ke lautan pasir dan padang terbuka di mana terik matahari
dengan pedihnya menyengat tubuh dan angin yang kencang menghembur-hamburkan
debu-debu pasir.
Ismail dan ibunya Hajar ditinggalkan di Makkah
Setelah berminggu-minggu berada dalam
perjalanan jauh yang memenatkan, tibalah pada akhirnya Nabi Ibrahim bersama
Ismail dan ibunya di Makkah kota suci dimana Kaabah didirikan dan menjadi
kiblat manusia dari seluruh dunia. Di tempat di mana Masjidil Haram sekarang
berada, berhentilah unta Nabi Ibrahim mengakhiri perjalanannya dan di situlah
ia meninggalkan Hajar bersama puteranya dengan hanya dibekali dengan serantang
bekal makanan dan minuman sedangkan keadaan sekitarnya tiada tumbuh-tumbuhan,
tiada air mengalir, yang terlihat hanyalah batu dan pasir kering. Alangkah
sedih dan cemasnya Hajar ketika akan ditinggalkan oleh Ibrahim seorang diri
bersama dengan anaknya yang masih kecil di tempat yang sunyi senyap dari
segala-galanya kecuali batu gunung dan pasir. Ia seraya merintih dan menangis,
memegang kuat-kuat baju Nabi Ibrahim memohon belas kasihnya, janganlah ia
ditinggalkan seorang diri di tempat yang kosong itu, tiada seorang manusia,
tiada seekor binatang, tiada pohon dan tidak terlihat pula air mengalir,
sedangkan ia masih menanggung beban mengasuh anak yang kecil yang masih menyusu.
Nabi Ibrahim mendengar keluh kesah Hajar merasa tidak tergamak meninggalkannya
seorang diri di tempat itu bersama puteranya yang sangat disayangi akan tetapi
ia sedar bahwa apa yang dilakukan nya itu adalah kehendak Allah s.w.t. yang
tentu mengandungi hikmat yang masih terselubung baginya dan ia sedar pula
bahawa Allah akan melindungi Ismail dan ibunya dalam tempat pengasingan itu dan
segala kesukaran dan penderitaan. Ia berkata kepada Hajar: "Bertawakkallah
kepada Allah yang telah menentukan kehendak-Nya, percayalah kepada kekuasaan-Nya
dan rahmat-Nya. Dialah yang memerintah aku membawa kamu ke sini dan Dialah yang
akan melindungi mu dan menyertaimu di tempat yang sunyi ini. Sesungguh kalau
bukan perintah dan wahyunya, tidak sesekali aku tergamak meninggalkan kamu di
sini seorang diri bersama puteraku yang sangat
ku cintai ini. Percayalah wahai Hajar bahwa Allah Yang Maha Kuasa tidak akan
melantarkan kamu berdua tanpa perlindungan-Nya. Rahmat dan barakah-Nya akan
tetap turun di atas kamu untuk selamanya, insya-Allah." Mendengar
kata-kata Ibrahim itu segeralah Hajar melepaskan genggamannya pada baju Ibrahim
dan dilepaskannyalah beliau menunggang untanya kembali ke Palestin dengan iringan
air mata yang bercurahan membasahi tubuh Ismail yang sedang menetak. Sedang Nabi
Ibrahim pun tidak dapat menahan air matanya keetika ia turun dari dataran
tinggi meninggalkan Makkah menuju kembali ke Palestin di mana isterinya Sarah
dengan puteranya yang kedua Ishak sedang menanti. Ia tidak henti-henti selama
dalam perjalanan kembali memohon kepada Allah perlindungan, rahmat dan barakah
serta kurniaan rezeki bagi putera dan ibunya yang ditinggalkan di tempat
terasing itu. Ia berkata dalam doanya:" Wahai Tuhanku! Aku telah tempatkan
puteraku dan anak-anak keturunannya di dekat rumah-Mu (Baitullahil Haram) di
lembah yang sunyi dari tanaman dan manusia agar mereka mendirikan solat dan
beribadat kepada-Mu. Jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka
dan berilah mereka rezeki dari buah-buahan yang lazat, mudah-mudahan mereka
bersyukur kepada-Mu."
Mata
air Zamzam
Sepeninggal Nabi Ibrahim tinggallah Hajar dan
puteranya di tempat yang terpencil dan sunyi itu. Ia harus menerima nasib yang
telah ditakdirkan oleh Allah atas dirinya dengan kesabaran dan keyakinan penuh
akan perlindungan-Nya. Bekalan makanan dan minuman yang dibawanya dalam
perjalanan pada akhirnya habis dimakan selama beberapa hari sepeninggalan Nabi
Ibrahim. Maka mulailah terasa oleh Hajar beratnya beban hidup yang harus
ditanggungnya sendiri tanpa bantuan suaminya. Ia masih harus meneteki anaknya, namun
air teteknya makin lama makin mengering disebabkan kekurangan makan. Anak yang
tidak dapat minuman yang memuaskan dari tetek ibunya mulai menjadi cerewet dan tidak
henti-hentinya menangis. Ibunya menjadi panik, bingung dan cemas mendengar tangisan
anaknya yang sgt menyayat hati itu. Ia menoleh ke kanan dan ke kiri serta lari
ke sana ke sini mencari sesuap makanan atau seteguk air yang dapat meringankan kelaparannya
dan meredakan tangisan anaknya, namun sia-sialah usahanya. Ia pergi berlari
harwalah menuju bukit Shafa kalau-kalau ia boleh mendapatkan sesuatu yang dapat
menolongnya tetapi hanya batu dan pasir yang didapatnya disitu, kemudian dari
bukit Shafa ia melihat bayangan air yang mengalir di atas bukit Marwah dan
larilah ia berharwahlah ke tempat itu namun ternyata bahawa yang disangkanya
air adalha fatamorangana {bayangan} belaka dan kembalilah ke bukit Shafa karena
mendengar seakan-akan ada suara yang memanggilnya tetapi gagal dan melesetlah
dugaannya. Demikianlah maka kerana
dorongan hajat hidupnya dan hidup anaknya yang
sangat disayangi, Hajar mundar-mundir berlari sampai tujuh kali antara bukit
Shafa dan Marwah yang pada akhirnya ia duduk termenung merasa penat dan hampir
berputus asa.
Diriwayatkan
bahawa selagi Hajar berada dalam keadaan tidak berdaya dan hampir berputus asa
kecuali dari rahmat Allah dan pertolongan-Nya datanglah kepadanya malaikat Jibril
bertanya: "Siapakah sebenarnya engkau ini?" "Aku adalah hamba
sahaya Ibrahim", jawab Hajar. "Kepada siapa engkau dititipkan di
sini?" tanya Jibril. "Hanya kepada Allah",jawab Hajar. Lalu
berkata Jibril: "Jika demikian, maka engkau telah dititipkan kepada Dzat
Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih, yang akan melindungimu, mencukupi keperluan
hidupmu dan tidak akan mensia-siakan kepercayaan ayah puteramu kepada-Nya."
Kemudian
diajaklah Hajar mengikutinya pergi ke suatu tempat di mana Jibril menginjakkan telapak
kakinya kuat-kuat di atas tanah dan segeralah memancur dari bekas telapak kaki
itu air yang jernih dengan kuasa Allah. Itulah dia mata air Zamzam yang
sehingga kini dianggap keramat oleh jemaah haji, berdesakan sekelilingnya bagi
mendapatkan setitik atau seteguk air daripadanya dan kerana sejarahnya mata air
itu disebut orang "Injakan Jibril". Alangkah gembiranya dan lega dada
Hajar melihat air yang mancur itu. Segera ia membasahi bibir puteranya dengan
air keramat itu dan segera pula terlihat wajah puteranya segar kembali,
demikian pula wajah si ibu yang merasa sangat bahagia dengan datangnya mukjizat
dari sisi Tuhan yang mengembalikan kesegaran hidup kepadanya dan kepada puteranya
sesudah dibayang-bayangi oleh bayangan mati kelaparan yang mencekam dada.
Mancurnya
air Zamzam telah menarik burung-burung berterbangan mengelilingi daerah itu menarik
pula perhatian sekelompok bangsa Arab dari suku Jurhum yang merantau dan sedang
berkhemah di sekitar Makkah. Mereka mengetahui dari pengalaman bahawa di mana
ada terlihat burung di udara, nescaya dibawanya terdapat air, maka diutuslah oleh
mereka beberapa orang untuk memeriksa kebenaran teori ini. Para pemeriksa itu
pergi mengunjungi daerah di mana Hajar berada, kemudian kembali membawa berita
gembira kepada kaumnya tentang mata air Zamzam dan keadaan Hajar bersama
puteranya. Segera sekelompok suku Jurhum itu memindahkan perkhemahannya ke
tempat sekitar Zamzam, di mana kedatangan mereka disambut dengan gembira oleh
Hajar kerana adanya sekelompok suku Jurhum di sekitarnya, ia memperolehi
jiran-jiran yang akan menghilangkan kesunyian dan kesepian yang selama ini
dirasakan di dalam hidupnya berduaan dengan puteranya saja. Hajar bersyukur
kepada Allah yang dengan rahmatnya telah membuka hati orang-orang itu cenderung
datang meramaikan dan memecahkan kesunyian lembah di mana ia ditinggalkan
sendirian oleh Ibrahim.
Ismail
Bantu Bapa Bina Kaabah
Nabi Ismail dibesarkan di Makkah (pekarangan
Kaabah). Apabila dewasa beliau berkahwin dengan wanita daripada puak Jurhum.
Walaupun tinggal di Makkah, Ismail sering dikunjungi bapanya. Pada satu ketika,
bapanya menerima wahyu daripada Allah supaya membina Kaabah. Perkara itu
disampaikan kepada anaknya. Ismail berkata: “Kerjakanlah apa yang diperintahkan
Tuhanmu kepadamu dan aku akan membantumu dalam pekerjaan mulia itu.”Ketika
membina Kaabah, Nabi Ibrahim berkata kepada Ismail: “Bawakan batu yang baik
kepadaku untuk aku letakkan di satu sudut
supaya ia menjadi tanda kepada manusia.”Kemudian Jibril memberi ilham kepada
Ismail supaya mencari batu hitam untuk diserahkan kepada Nabi Ibrahim.Setiap
kali bangun, mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan
kami), sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”Bangunan
(Kaabah) itu menjadi tinggi dan Ibrahim makin lemah untuk mengangkat batu. Dia
berdiri di satu sudut, kini dikenali Makam Ibrahim. Nabi Ibrahim sering
berulang-alik mengunjungi anaknya. Pada satu hari, beliau tiba di Makkah dan
mengunjungi rumah anaknya.Bagaimanapun, Ismail tiada di rumah ketika itu melainkan
isterinya. Isteri Ismail tidak mengenali orang tua itu adalah bapa
Ismail.Apabila Nabi Ibrahim bertanya isteri Nabi Ismail mengenai suaminya itu,
beliau diberitahu anaknya keluar berburu. Seterusnya Nabi Ibrahim bertanya
keadaan mereka berdua. Isterinya berkata: “Kami berada dalam kesempitan.”Nabi
Ibrahim berkata: “Apakah kamu mempunyai jamuan, makanan dan minuman?“ Dijawab
isteri Ismail: “Aku tidak mempunyainya, malah apa pun tiada.”Kelakukan isteri
Nabi Ismail itu tidak manis dipandang Nabi Ibrahim kerana kelihatan tidak reda
dengan pemberian Allah dan jemu untuk hidup bersama suaminya. Malah, dia
kelihatan bersifat kedekut kerana tidak mengalu-alukan kedatangan
tetamu.Akhirnya Nabi Ibrahim berkata kepada isteri anaknya: “Jika suamimu
kembali, sampaikanlah salamku kepadanya dan katakan kepadanya supaya dia
menggantikan pintunya.”. Selepas itu Nabi Ibrahim beredar dari situ. Sejurus
kemudian, Nabi Ismail pulang ke rumah dengan hati gembira kerana dia menganggap
tiada perkara tidak diingini berlaku sepanjang ketiadaannya di rumah. Nabi
Ismail bertanya isterinya: “Apakah ada orang datang menemui kamu?“Isterinya
berkata: “Ya, ada orang tua kunjungi kita.” Ismail berkata: “Apakah dia mewasiatkan
sesuatu kepadamu?“ Isterinya berkata: “Ya, dia menyuruhku menyampaikan salam
kepadamu dan memintaku mengatakan kepadamu supaya menggantikan pintumu.”Ismail
berkata: “Dia adalah bapaku. Sesungguhnya dia menyuruhku supaya menceraikanmu,
maka kembalilah kepada keluargamu.”Selepas menceraikan isterinya, Nabi Ismail
berkahwin lain, kali ini dengan seorang lagi wanita daripada kaum Jurhum.
Isteri baru itu mendapat keredaan bapanya kerana pandai menghormati tetamu,
tidak menceritakan perkara yang menjatuhkan maruah suami dan bersyukur dengan
nikmat Allah. Ismail hidup bersama isteri barunya itu hingga melahirkan
beberapa anak. Nabi Ismail mempunyai 12 anak lelaki dan seorang anak perempuan
yang dikahwinkan dengan anak saudaranya, iaitu Al-’Ish bin Ishak. Daripada
keturunan Nabi Ismail lahir Nabi Muhammad s.a.w. Keturunan Nabi Ismail juga
mewujudkan bangsa Arab Musta’ribah.
Nabi
Ismail sebagai Qurban
Nabi Ibrahim dari masa ke semasa pergi ke
Makkah untuk mengunjungi dan menjenguk Ismail di tempat pengasingannya bagi
menghilangkan rasa rindu hatinya kepada puteranya yang ia sayangi serta
menenangkan hatinya yang selalu rungsing bila mengenangkan keadaan puteranya
bersama ibunya yang ditinggalkan di tempat yang tandus, jauh dari masyarakat
kota dan pengaulan umum. Sewaktu Nabi Ismail mencapai usia remajanya Nabi
Ibrahim a.s. mendapat mimpi bahwa ia harus menyembelih Ismail puteranya. Dan
mimpi seorang nabi adalah salah satu dari cara-cara turunnya wahyu Allah, maka
perintah yang diterimanya dalam mimpi itu harus dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim.
Ia duduk sejurus termenung memikirkan ujian yang maha berat yang ia hadapi.
Sebagai seorang ayah yang dikurniai seorang putera yang sejak puluhan tahun
diharap-harapkan dan didambakan, seorang putera yang telah mencapai usia di
mana jasa-jasanya sudah dapat dimanfaatkan oleh si ayah, seorang putera yang diharapkan
menjadi pewarisnya dan penyampung kelangsungan keturunannya, tiba-tiba harus
dijadikan qurban dan harus direnggut nyawa oleh tangan si ayah sendiri. Namun
ia sebagai seorang Nabi, pesuruh Allah dan pembawa agama yang seharusnya menjadi
contoh dan teladan bagi para pengikutnya dalam bertaat kepada Allah, menjalankan
segala perintah-Nya dan menempatkan cintanya kepada Allah di atas cintanya kepada
anak, isteri, harta benda dan lain-lain. Ia harus melaksanakan perintah Allah
yang diwahyukan melalui mimpinya, apa pun yang akan terjadi sebagai akibat
pelaksanaan perintah itu. Sungguh amat berat ujian yang dihadapi oleh Nabi
Ibrahim, namun sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: "Allah lebih
mengetahui di mana dan kepada siapa Dia mengamanatkan risalahnya". Nabi
Ibrahim tidak membuang masa lagi, berazam (niat) tetap akan menyembelih Nabi
Ismail puteranya sebagai qurban sesuai dengan perintah Allah yang telah
diterimanya. Dan berangkatlah serta merta Nabi Ibrahim menuju ke Makkah untuk
menemui dan menyampaikan kepada puteranya apa yang Allah perintahkan. Nabi
Ismail sebagai anak yang soleh yang sangat taat kepada Allah dan bakti kepada
orang tuanya, ketika diberitahu oleh ayahnya maksud kedatangannya kali ini
tanpa ragu-ragu dan berfikir panjang berkata kepada ayahnya: "Wahai
ayahku! Laksanakanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah kepadamu. Engkau akan
menemuiku insya-Allah sebagai seorang yang sabar dan patuh kepada perintah. Aku
hanya meminta dalam melaksanakan perintah Allah itu, agar ayah mengikatku
kuat-kuat supaya aku tidak banyak bergerak sehingga menyusahkan ayah, kedua
agar menanggalkan pakaianku supaya tidak terkena darah yang akan menyebabkan berkurangnya
pahalaku dan terharunya ibuku bila melihatnya, ketiga tajamkanlah parangmu dan
percepatkanlah perlaksanaan penyembelihan agar menringankan penderitaan dan
rasa pedihku, keempat dan yang terakhir sampaikanlah salamku kepada ibuku
berikanlah kepadanya pakaian ku ini untuk menjadi penghiburnya dalam kesedihan
dan tanda mata serta kenang-kenangan baginya dari putera tunggalnya."
Kemudian dipeluknyalah Ismail dan dicium
pipinya oleh Nabi Ibrahim seraya berkata: "Bahagialah aku mempunyai
seorang putera yang taat kepada Allah, bakti kepada orang tua yang dengan
ikhlas hati menyerahkan dirinya untuk melaksanakan perintah Allah". Saat
penyembelihan yang mengerikan telah tiba. Diikatlah kedua tangan dan kaki
Ismail, dibaringkanlah ia di atas lantai, lalu diambillah parang tajam yang
sudah tersedia dan sambil memegang parang di tangannya, kedua mata nabi Ibrahim
yang tergenang air berpindah memandang dari wajah puteranya ke parang yang
mengilap di tangannya, seakan-akan pada masa itu hati beliau menjadi tempat
pertarungan antara perasaan seorang ayah di satu pihak dan kewajiban seorang
rasul di satu pihak yang lain. Pada akhirnya dengan memejamkan matanya, parang
diletakkan pada leher Nabi Ismail dan penyembelihan di lakukan . Akan tetapi
apa daya, parang yang sudah demikian tajamnya itu ternyata menjadi tumpul
dileher Nabi Ismail dan tidak dapat berfungsi sebagaimana mestinya dan
sebagaimana diharapkan.
Kejadian
tersebut merupakan suatu mukjizat dari Allah yang menegaskan bahwa perintah perkorbanan
Ismail itu hanya suatu ujian bagi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sampai sejauh mana
cinta dan taat mereka kepada Allah. Ternyata keduanya telah lulus dalam ujian
yang sangat berat itu. Nabi Ibrahim telah menunjukkan kesetiaan yang tulus
dengan perkorbanan puteranya. untuk berbakti melaksanakan perintah Allah
sedangkan Nabi Ismail tidak sedikit pun ragu atau bimbang dalam memperagakan
kebaktiannya kepada Allah dan kepada orang tuanya dengan menyerahkan jiwa
raganya untuk dikorbankan, sampai-sampai terjadi seketika merasa bahwa parang
itu tidak lut memotong lehernya, berkatalah ia kepada ayahnya:" Wahai
ayahku! Rupa-rupanya engkau tidak sampai hati memotong leherku karena melihat
wajahku, cubalah telangkupkan aku dan laksanakanlah tugasmu tanpa melihat
wajahku. "Akan tetapi parang itu tetap tidak berdaya mengeluarkan setitik darah
pun dari daging Ismail walau ia telah ditelangkupkan dan dicuba memotong
lehernya dari belakang. Dalam keadaan bingung dan sedih hati, kerana gagal
dalam usahanya menyembelih puteranya, datanglah kepada Nabi Ibrahim wahyu Allah
dengan firmannya: "Wahai Ibrahim!
Engkau telah berhasil melaksanakan mimpimu,
demikianlah kami akan membalas
orang-orang yang berbuat kebajikkan".
Kemudian sebagai tebusan ganti nyawa, Ismail telah diselamatkan itu, Allah
memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih seekor kambing yang telah tersedia di
sampingnya dan segera dipotong leher kambing itu oleh beliau dengan parang yang
tumpul di leher puteranya Ismail itu. Dan inilah asal permulaan sunnah berqurban
yang dilakukan oleh umat Islam pada tiap Hari Raya Aidiladha di seluruh pelosok
dunia.

Tidak ada komentar:
Posting Komentar